Manfaat
Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah
Dasar 1Murid 1Sukan
yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak
mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program
pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi
serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu
melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan
penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di
sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan
dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini
ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan
aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan
diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara
yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya,
murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak,
badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti
yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi,
dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan
berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.
Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil
bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai
oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada
guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang
telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki,
badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan
bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai
kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat
murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Selain itu, program ini dapat mewujudkan
budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah.
Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan
menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak
mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan
seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain,
murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam
pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini,
murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
peperiksaan.
Seterusnya, dasar ini berupaya untuk
menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal
ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang
permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini
menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada
melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung,
pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan
dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu,
jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan
diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk
semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi
realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu,
murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam
sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang
untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina,
India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini
membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan
sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut
dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di
negara ini.
Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan
ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem
pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat
perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak
mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut
tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan
perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan
bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.
.