Showing posts with label Karangan. Show all posts
Showing posts with label Karangan. Show all posts

Amalan Pemakanan Sihat

Amalan Pemakanan Sihat

Makanan berkhasiat merupakan makanan yang harus dimakan untuk memastikan tubuh badan seseorang berfungsi secara normal. Makanan seimbang seharusnya memberikan kita tenaga yang mencukupi yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak secara optimum dan kandungan fiber yang mencukupi. Makanan yang memberi tenaga dapat membina badan dan dapat menjauhi kita daripada penyakit.
1.    Jangan tidak makan karbohidrat

Sesetengah dari kita merasakan dan mempercayai dengan mengambil karbohidrat menyebabkan mereka gemuk dan mampu mengundang pelbagai penyakit. Ini mendorong mereka bertindak untuk meninggalkan pengambilan nutrien tersebut secara total serta menggantikannya dengan kaedah diet lain yang mungkin menyebabkan berlakunya malnutrisi.
2.    Rancang apa yang hendak dimakan

Sekiranya berhasrat untuk mengambil makan malam yang lebih berat seperti stik dan kentang, kurangkan atau elakkan pengambilan makanan berdaging dan berkanji untuk waktu makan yang lain dan begitulah seterusnya. Imbang dan rancang pengambilan kategori makanan.
3.    Makan tengahari semahu anda

Mungkin anda pernah dengar sarapan pagi adalah penting dan makan dengan banyak untuk memulakan hari anda tetapi ramai diantara kita yang tidak bersedia untuk makan dalam jumlah yang banyak seawal pagi. Kebenarannya ialah waktu makan paling penting ialah waktu makan tengahari di mana sistem penghadaman kita telah bersedia sepenuhnya. Di waktu itu juga badan amat memerlukan makanan untuk berfungsi sepenuhnya seharian. Namun begitu makan semahunya bukan bermakna anda boleh makan apa sahaja dalam jumlah yang banyak tetapi perlulah dirancang dan diimbang sebaik mungkin
4.    Makan makanan berwarna pelangi

Sayuran hijau, oren, anggur, kobis ungu, lada benggala dan pelbagai warna sayuran dan buah-buahan akan membantu memberi tubuh badan dengan pelbagai nutrien yang akan membantu melawan penyakit.
5.    Berhenti sebelum kenyang

Makan itu bukan untuk menjadi kenyang sebaliknya makan itu bertujuan memenuhi keperluan tubuh badan dengan nutrien yang membolehkan tubuh berfungsi sebaiknya. Praktis ini sememangnya amat membantu kerana ianya membolehkan sistem pencernaan berfungsi lebih optimum dan ini dapat mengelakkan dari perut kembung serta mengurangkan kadar risiko penyakit berkaitan usus dan perut.
6.    Tetapkan pola waktu makan yang seragam

Waktu makan yang tidak tetap akan menyebabkan kecenderungan untuk makan dalam kuantiti yang yang banyak
7.    Minum segelas air suam 20 minit sebelum makan

Mampu mengurangkan jumlah makanan yang diambil serta membantu sistem penghadaman.
8.    Kurangkan pengambilan gula di dalam makanan

Pengurangan pengambilan gula membantu mengurangkan jumlah kalori di dalam pemakanan seharian. Pengambilan gula secara berlebihan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti.
9.    Menguyah makanan secara perlahan-lahan

Di dalam air liur terdapat enzim amalyse yang membantu menguraikan makanan dan seterusnya membantu sistem pencernaan. Makan dengan cepat akan menyebabkan air liur tidak dapat menguraikan makanan dengan baik.
10. Tidur secukupnya

Amalkan tidur yang secukupnya bagi mempastikan tubuh badan dapat berfungsi dengan baik termasuk sistem penghadaman.

.

Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga

Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga     
     
Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.
Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

.

Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah

Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah

Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.


Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.
Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Selain itu, program ini dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.
Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.
.