NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN – Sinopsis Bab 19 → Bab 24

 Bab 19.

Sebelum pulang, Danel dan Lili singgah di restoran makanan segera untuk makan dua biji burger, kentang goreng dan minuman berkarbohidrat, ini boleh mengundang penyakit darah tinggi. Danel juga memberitahu, bahawa nenek Lili memang pandai memasak dan masakannya sungguh sedap. Dia juga selalu ke rumah nenek membantu nenek masak tanpa pengetahuan Lili. Menu masakan semuanya menggunakan pisang sebagai bahan campuran. Mereka singgah di pasar raya untuk membeli beberapa barang keperluan, seterusnya Lili merancang untuk singgah ke rumah Geetha. Setelah selesai mereka pulang menaiki bas seperti biasa, sehinggalah sampai menyusuri jalan ke kampung dan Danel mengekori sahaja Lili dari belakang. Sebaik sahaja sampai ke jalan besar yang berturap, kelihatan seorang budak lelaki dikejar oleh beberapa orang lelaki dengan suara yang memekik. Lili mengenali itulah anak-anak Che Jah yang sering menimbulkan masalah. Tiba-tiba tangan Lili dipulas, Danel tergamam kerana senjata tajam yang dipegang oleh Rafiq telah diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili telah berada di tempat penculikan yang dilakukan oleh kedua-dua anak lelaki Che Jah.

Bab 20.

Lili disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang menyelamatkan Lili pada waktu kegelapan malam, kerana Danel memang tahu tempat persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel tidak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk-penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut Danel, Haziq satu sekolah dengannya dan merupakan seorang pelajar pintar. Namun, pergaulan bebas kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terperangkap dengan jenayah seperti mencuri, hisap dadah dan pecah rumah. Sehinggakan mereka sanggup melakukan kekerasan dan mengugut ibunya sendiri, juga orang-orang kampung menyumpah-nyumpah supaya anaknya ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah, nenek menyambut kepulangan Lili dengan tangisan kerana bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya nenek tahu tentang kejadian yang menimpa Lili.

Bab 21.

Lili berasa simpati tentang nasib malang Rafik dan Haziq kerana berpunca dari masalah keluarga yang dihadapi. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus bertanyakan khabar berita nasib mereka dua beradik. Ketua kampung pula telah mengarahkan penduduk-penduduk kampung merobohkan pondok tempat persembunyian mereka. Namun Lili tetap berasa simpati dengan keadaan hidup malang yang menimpa Che Jah, Rafiq dan Haziq. Menerusi maklumat yang diperoleh dari neneknya, sudah tentu banyak yang bersifat negatif dan menyedihkan. Oleh itu, Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan maklumat yang lebih telus dan bersifat terbuka. Bagi Lili, Rafiq dan Haziq adalah manusia biasa yang memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak, bukan mengutuk dan menghina secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha, tetapi neneknya tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

Bab 22.

Abang Rashid memberitahu Lili, bahawa Haziq dan Rafiq telah ditangkap oleh penduduk-penduduk kampung dan salah seorang daripadanya teruk dibelasah oleh ayah mereka. Lili bercadang ke rumah Che Jah untuk mengetahui keadaan yang sebenar dan kemudiannya merancang ke pekan bersama-sama dengan Abang Rashid. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Che Jah, Lili disambut dan dipersilakan masuk ke dalam rumah. Che Jah menjelaskan Haziq teruk dibelasah dengan tali pinggang oleh ayahnya. Menurut cerita Che Jah lagi, Haziq semasa alam persekolahan dulu merupakan seorang pelajar yang pandai, tetapi telah dibuang sekolah kerana selalu ponteng dan melawan guru. Haziq menjadi nakal kerana bergaul bebas dengan budak-budak nakal sehingga perangainya tidak dapat dilentur. Che Jah memohon maaf kepada Lili tentang apa yang dilakukan oleh anaknya terhadap Lili, tetapi Lili secara ikhlas telah memaafkannya. Che Jah memuji-muji kebaikan hati Lili yang sanggup datang menjenguk dan bertanya khabar. Che Jah mempelawa Lili untuk makan tengah hari di rumahnya, dia tidak menolak pelawaan itu.

Bab 23.

Nenek menegur Lili kerana mengambil tahu tentang hal keluarga orang lain. Nenek juga memberitahu bahawa orang-orang kampung memang suka bermuka-muka. Kadang-kadang boleh mengumpat hanya melalui jendela sahaja. Lili menghampiri datuk yang masih belum selesai dengan isu kubah surau dan herba-herba ubatan tradisionalnya. Seman suami Che Jah merupakan seorang bapa yang sangat garang. Seman bukan sahaja garang terhadap anak-anaknya, tetapi juga terhadap orang-orang lain yang berurusan dengannya. Kelakuan buruk Seman ialah suka berjudi, berhutang, menipu,  minum arak dan anak-anak serta isterinya akan menjadi mangsa kekejamannya. Lili melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap segala tindakan dan perbuatan Seman yang tersalah mendidik anak-anak dalam membina keluarga bahagia.

Bab 24.

Menjelang waktu isyak, melalui jendela Lili ternampak sebuah lori membawa kubah di puncaknya terdapat bulan sabit. Selepas jam sepuluh malam, barulah Lili mendapat berita dari datuk bahawa kubah surau akan dipasang dalam masa terdekat. Kini isu kubah surau telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk-penduduk kampung. Abang Rashid lebih suka sebuah masjid didirikan di kampung tersebut sebagai tanda pembangunan, begitu juga dengan Lili. Bagi datuk pula tidak kisah, sama ada kubah surau atau sebuah masjid, yang penting ilmu-ilmu agama ditegakkan.

.