NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN – Sinopsis Bab 7 → Bab 12

Bab 7.

Nenek membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan Geetha. Lili tidak menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akrab dengan ibu Geetha. Menurut Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia mengamalkan minuman herba buatan datuknya yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit teruk. Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi kelihatan begitu sihat. Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan rawatan tradisional dari datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa ini. Lili berasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam ilmu pengubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa dengannya.

Bab 8.

Datuk banyak mengajar Lili berkaitan dengan ilmu keagamaan, malah datuk selalu menguji Lili tentang ilmu-ilmu keagamaan yang selama ini Lili tidak mengetahuinya. Datuk mengakui bahawa ibu Lili tidak kisah dengan ilmu-ilmu keagamaan adalah berpunca daripada kesilapannya. Semasa zaman kanak-kanak ibu Lili lebih berminat belajar silat di gelanggang Tuk Wali berbanding ilmu agama. Tambahan pula setelah berjaya melanjutkan pelajaran keluar negara, menjawat jawatan penting dan berumah tangga sehingga terlupa segala-galanya. Sepanjang berada di kampung, Lili merasa keenakan buah-buahan tempatan yang terdapat di dusun yang dikutip oleh Abang Rashid. Pak Sahak datang ke rumah datuk memaklumkan bahawa berlaku kekecohan di surau kerana William cuba mempengaruhi penduduk-penduduk kampung supaya tidak mempercayai pengubatan tradisional di samping memujuk supaya menjualkan tanah bagi tujuan membina rumah sewa.

Bab 9.

Danel anak bongsu William Ng berkunjung ke rumah datuk untuk menjelaskan isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat kampung berkaitan pembinaan kubah surau. Wakil Rakyat telah memberi pilihan sama ada ingin membina sebuah dewan masyarakat atau mendirikan sebuah masjid. Kebanyakan penduduk kampung memilih untuk membina kubah surau berbanding  membina sebuah masjid kerana masalah kekurangan tanah. Di samping itu juga, Danel telah menjelaskan kebaikan mendapatkan rawatan moden berbanding dengan rawatan tradisional. Hujah-hujah telah dikemukakan oleh Danel dari segi sains perubatan untuk meyakinkan penduduk-penduduk kampung termasuk datuk, walaupun datuk sukar untuk menerima hakikatnya. Memang kaedah perubatan tradisional baik jika digabungkan dengan kaedah perubatan moden, kerana semua bahan ramuan tradisional diawet dalam bentuk moden supaya penggunaannya lebih selamat dan terjamin mengikut kaedah saintifik. Danel terpaksa berhujah secara berhemah demi menjaga hati datuk agar tidak terguris.

Bab 10.

Datuk tetap sayang akan pekerjaannya sebagai pengubat tradisional, kerana masih ramai penduduk yang percaya dengan rawatan tersebut termasuk ibu Geetha. Hati datuk tersentuh dengan penerangan yang diberikan oleh Danel, walaupun hujah-hujah yang diberikan itu belum tentu dapat meyakinkannya. Jangkaan Datuk juga kuat mengatakan William juga tidak dapat menerima penerangan yang diberikan oleh Danel. Jika dahulu semua kata datuk boleh diterima pakai oleh penduduk-penduduk kampung termasuk William, malah berjaya mengislamkannya, tetapi kini tidak lagi. Nenek pula sekarang sudah mula menyindir dan menidakkan kata-kata datuk. Sugi anak sulung William pula telah menggalakkan pemaju datang untuk membangunkan tanah penduduk-penduduk kampung, yang akhirnya berlaku pertelagahan antara penduduk sama ada mahu menjual tanah atau sebaliknya.

Bab 11.

Sebelum solat, datuk tercari-cari tasbihnya yang hilang entah ke mana, namun sebaik sahaja masuk waktu datuk bersolat dan berzikir tanpa menggunakan tasbih. Selepas itu datuk membaca kitab dua halaman dan berhenti. Dengan linangan air mata yang tidak bertakung, tanda menahan kesedihan dalam mengharung segala dugaan kehidupan. Usia datuk kini sudah mencapai lebih tujuh puluh tahun. Datuk menyuruh Lili ke dapur supaya nenek membuatkan secawan kopi untuknya. Tanpa berlengah Lili akur dengan arahan datuk dan terus ke dapur. Nenek membawa secawan kopi untuk datuk. Apabila melihatkan ada sesuatu yang ingin dibincangkan antara datuk dan nenek, Lili mohon izin keluar, tetapi datuk terus memanggilnya. Lili duduk semula dan datuk meminta Lili menceritakan tentang ibunya. Lili terus bercerita, namun berdasarkan soalan-soalan yang datuk kemukakan, jelaslah bahawa terlalu banyak rahsia hidup ibu yang Lili tidak ketahui.

Bab 12.

Isu kubah surau menjadi perbualan hangat antara penduduk kampung. Sama ada ingin mendirikan masjid atau membina kubah surau lama telah menyebabkan penduduk-penduduk kampung hidup berpuak-puak. Bekas ketua kampung, iaitu arwah Haji Salihin merupakan orang alim di kampung ini, juga berasal dari tanah Jawa Barat bersama-sama membangunkan surau lama ini, telah berpesan bahawa surau lama ini tidak boleh dibangunkan kerana bimbang kesannya akan mengganggu ketenteraman kampung. Mengikut pendapat nenek itu hanyalah kepercayaan yang tiada penghujungnya dan ada alasannya yang tersendiri. Ketika Lili meniti bendang untuk menemui nenek, dia ternampak seorang lelaki mengepit seekor ayam jantan dan seorang lagi mengepit seekor ayam betina. Abang Rashid telah menasihatinya supaya balik ke rumah kerana keadaan kampung begitu tegang. Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki tua melaung-laung dan bertakbir serta menghalang mereka melakukan perkara-perkara haram dan pengkhianat. Berlakulah kejar-mengejar antara kumpulan tersebut. Abang Rashid terus menghantar Lili pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatannya. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Lili ternampak ada tetamu datang yang terdiri daripada empat orang lelaki dan seorang perempuan.

.