Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban
Kewangan Keluarga
Semua pihak telah maklum,
bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah
terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang
suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam,
dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini
suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang
melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat
menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya
mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis
kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah
antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan
itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara
melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang
ditanggung.
Budaya berjimat cermat
ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini.
Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah
tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung
oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula
dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan
keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang
sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air
sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan.
Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak
mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap.
Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di
bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama.
Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik
adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan
kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa
simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan
beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah
lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan
sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang
perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang
seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah
terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka
mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti
inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang
eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh
dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang
sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Walaupun bebanan kos
hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang
untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja
sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh
di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang
tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan
lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan
perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti
daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri
Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat
dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap
anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata
tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi
sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak kata peribahasa,
daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang
menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal
demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak
usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan
bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik
dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat
susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah
apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang
masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang
sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu,
berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk
dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang
lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya atau miskin,
susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian
daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi
berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan
berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok
ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak
berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada
jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk
memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada
itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa,
bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah
sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya,
“Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang
mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus
memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap
bersama-sama kita.
Kesimpulannya, ketika
berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap
keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan
penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap
ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan
untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa
positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan
berliku ada penghujungnya.
.