Novel Bimasakti Manari : Sinopsis Bab 4 → Bab 6 (Novel Tingkatan
5)
Bab 4:
Budiman kembali ke rumah dengan menaiki sebuah
kereta jenis hibrid seperti yang diimpikan oleh Nurul Hafsa. Budiman dan
adiknya makan tengah hari bersama ayah mereka, Haji Yassir. Seusai solat Zohor
berjemaah, Budiman bertanyakan khabar Nurul Hafsah tentang hari pertama dia
bekerja di balai cerap. Setelah mendapat jawapan yang mengecewakan daripada
adiknya, Budiman yang merupakan seorang guru Sains di Sekolah Menengah
Kebangsaaan Tanjung Keramat sejak tiga tahun yang lalu membaca laporan
menggunakan Skala Langit Gelap Bortle yang ditaip adiknya, Nurul Hafsah. Skala
ini dicipta oleh John E Bortle untuk membantu peminat-peminat kaji falak amatur
membandingkan tahap kegelapan langit di sesuatu tempat pencerapan dengan tempat
pencerapan lain. Berdasarkan skala ini, Kuala Selangor yang pernah
diklasifikasikan sebagai kelas 1 sebelum ini, kini berada di kelas 8, iaitu
langit terbias dengan warna putih atau oren disebabkan cahaya lampu. Nurul
Hafsah mengeluh apabila Kuala Selangor yang baru empat tahun ditinggalkannya
telah berubah. Budiman mengakui penduduk Kuala Selangor belum menyedari bahawa
pembangunan dan kemudahan yang dinikmati jika tidak dirancang dengan teliti
akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Nurul Hafsa terkejut namun
gembira apabila menyedari bahawa Budiman turut menyokong usahanya untuk
menyelamatkan Kuala Selangor daripada terus tercemar akibat pembangunan yang
tidak terancang.
Bab 5:
Tan Sri Muhaimin mengambil tempat
pemandunya yang keletihan menunggu kepulangan beliau di lapangan terbang dan
memandu laju ke sebuah kawasan kampung tempat projek rumah Ikhtiar
TeknoAlam yang didiami anaknya Muhammad Taufik. Sepanjang pemanduannya,
beliau mengimbas kembali kenangan perpisahan antara beliau dengan isterinya
Maryam Wickham Abdullah kerana Muhammad Taufik telah menghantar pesanan ringkas
tentang kehadiran bekas isterinya untuk bermalam di situ. Beliau berasa puas
dapat membuktikan kepada bekas isterinya bahawa beliau telah melakukan yang
terbaik untuk anak mereka. Sesampai beliau di rumah Muhamamad Taufik, air muka
beliau berubah apabila dimaklumkan anaknya bahawa Puan Maryam telah pulang.
Beliau tetap bertanyakan khabar Puan Maryam kepada anaknya ketika mereka
bersama dengan pemandunya Sobirin menghadap hidangan yang dimasak Puan Maryam
sebelum bekas isterinya itu pergi. Walaupun Tan Sri Muhaimin terpaksa
melepaskan isterinya kerana perbezaan pendapat dan membawa haluan
masing-masing, namun mereka tidak pernah bermusuh dan zuriat menjadi penyambung
silaturahim mereka berdua.
Bab 6:
Nurul
Hafsa membuat keputusan untuk bercakap dengan Puan Foziah, Pegawai Atasan
Pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor berkaitan dengan laporan tentang tahap
kecerahan langit Kuala Selangor yang telah dihantarnya. Namun demikian, Nurul
Hafsa hanya dinasihati agar tidak mengharapkan sebarang tindkan diambil kerana
Puan Foziah memaklumkan tiada undang-undang alam sekitar yang telah dilanggar
di Kuala Selangor. Namun demikian, Nurul hafsah tetap mengingati janjinya
terhadap kumpulan pengunjung kanak-kanak dari Jepun yang ingin melihat bintang
di Kuala Selangor dan impiannya yang sejak dulu hingga kini adalah untuk
menjadikan Kuala Selangor, Bukit Melawati dan Balai Cerap Sultan Salahuddin
tempat tumpuan peminat-peminat langit seluruh dunia melihat bintang. Dalam masa
yang sama, Nurul Hafsah bertanyakan abangnya Budiman sama ada dirinya telah
hilang akal dan bimbang tentang hal yang remeh-temeh. Budiman menasihati Nurul
Hasfa agar bertenang dan beristighfar serta mendengar kata hati. Akhirnya, dia
bertekad tidak akan membiarkan masalah pencemaran di Kuala Selangor daripada
terus berlaku. Mereka sedar perkara ini tidak boleh dilakukan tanpa bantuan
orang lain. Budiman bersedia untuk membawa adiknya berjumpa dengan ‘ lelaki
kelip-kelip’. Lelaki tersebut merupakan individu yang memagar sungai kecil di
kawasan orang melihat kelip-kelip dan dialah juga yang menghantar Budiman
pulang ke rumah dengan kereta hibrid. Pada awalnya, Nurul Hafsa tidak senang
dengan lelaki tersebut, namun Budiman menasihati adiknya agar tidak
terburu-buru bersangka buruk terhadap orang lain. Nurul Hafsa bersedia
untuk berjumpa lelaki tersebut dengan folio yang dihasilkannya dengan
tajuk Kuala Selangor: Kawasan Simpan Langit Gelap.
.