Sinopsis Bab 7 → Bab 9 (Novel Tingkatan 5)

Novel Bimasakti Manari : Sinopsis Bab 7 → Bab 9 (Novel Tingkatan 5)

Bab 7:

          Nurul Hafsa menyiapkan dirinya untuk bertemu lelaki kelip-kelip dengan berhati-hati. Dia beranggapan bahawa dia akan bertemu dengan seorang lelaki berpangkat bapa dan berpengaruh seperti yang dikatakan oleh abangnya, Budiman. Setelah mereka berdua sampai di kawasan rumah lelaki kelip-kelip, Nurul Hafsa ternampak seorang lelaki muda sedang membuat kerja-kerja pertukangan yang melibatkan pembinaan sebuah peralatan pertanian kecil-kecilan. Apabila Nurul Hafsa melihat wajah lelaki tersebut, mindanya cuba mengingati kembali wajah-wajah yang pernah dia lihat sepanjang usianya. Akhirnya, Nurul Hafsa mengecam wajah lelaki tersebut. Budiman memanggil lelaki tersebut dengan nama Muhammad Taufik dan bertanyakan beliau sama ada masih mengingati adiknya, Nurul Hafsa. Rupa-rupanya Muhammad Taufik merupakan rakan sekolah abangnya ketika bersekolah di Tanjung Keramat. Budiman memaklumkan bahawa selepas tahun 6, dia belajar di Otago. Dalam masa yang sama, Nurul Hafsa menyindir perbuatan Muhammad Taufik yang memagar sebahagian daripada sungai Selangor. Muhammad Taufik menjelaskan bahawa dia yang meminta ayahnya membelikan tanah yang menyusuri tepi anak sungai di Kampung Kuantan, terus ke kampung Api-api yang berkeluasan 50 hektar. Semua ini dilakukannya apabila dia mendapati populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan semakin berkurangan akibat kehadiran pelancong yang ramai dengan bunyi enjin motor bot, cahaya lampu di jeti, pencemaran air sungai, pemusnahan kawasan paya bakau, cahaya dari kawasan petempatan manusia dan cahaya roda ferris yang semuanya membawa ancaman kepada populasi kelip-kelip. Dia memagar anak sungai tersebut dengan harapan kelip-kelip mempunyai tempat untk bersembunyi dan akan meruntuhkan pagar itu apabila populasi kelip-kelip sudah pulih kembali. Nurul Hafsa yang mendengar penjelasan tersebut memohon maaf daripada En. Taufik kerana telah tersalah anggap terhadap pemuda tersebut.


Bab 8:
                         Budiman mencadangkan Muhammad Taufik menunjukkan projek yang sedang dilaksanakannya kepada Nurul Hafsa. Muhammad Taufik bersetuju lalu mengajak Budiman dan adiknya meneliti rumah tradisional Melayu yang mempunyai ciri-ciri berteknologi tinggi yang dibinanya. Setelah mendengar penjelasan Muhammad Taufik tentang sistem rumah tersebut, lalu Nurul Hafsa membuat kesimpulan bahawa Muhammad Taufik mencipta satu model tempat tinggal di luar grid. Muhammad Taufik mengakui bahawa dia hendak mendirikan rumah di atas tanah satu per lapan ekar untuk sebuah keluarga, yang dapat mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap grid utiliti yang sedia ada. Hasratnya adalah untuk menyampaikan mesej dan menanamkan kesedaran bahawa apabila manusia kembali bergantung kepada alam semula jadi secara terus, manusia akan menyedari betapa pentingnya alam sekitar. Hal ini disokong oleh Nurul Hafsa. Sepanjang pertemuan tersebut, Nurul Hafsa sering bersetuju dengan pendapat Muhammad Taufik menyebabkan abangnya, Budiman tersenyum melihat gelagat dua pencinta alam etrsebut. Namun begitu, dia sedar bahawa adiknya Nurul Hafsa dan sahabatnya Muhammad Taufik emmpunyai misi penting yang tidak boleh dilalaikan dengan emosi. Akhirnya, Muhammad Taufik mengingatkan Nurul Hafsa tentang tujuan asal mereka bertemu Muhammad Taufik menolongnya membawa kembali kegelapan ke Kuala Selangor.


Bab 9:
         
Bab ini menceritakan Muhammad Taufik meminta pertolongan ayahnya Tan Sri Muhaimin untuk menyokong rancangannya untuk menjadikan Kuala Selangor satu kawasan simpan langit gelap secara industri untuk tujuan kaji bintang amatur dan profisional dan untuk menghalang kepupusan kelip-kelip. Pertemuan Tan Sri Muhaimin dengan rakan lamanya Tan Sri Yahya telah membuka ruang kepada mereka untuk berbicara tentang zuriat masing-masing. Pada akhir perbualan, Tan Sri Muhaimin bertahmit apabila menyedari bahawa usaha-usaha anaknya selama ini merupakan gabungan ciri-ciri terbaik dua orang manusia bernama Muhaimin dan Maryam.  

.