NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN – Sinopsis Bab 25 → Bab 30

NOVEL JENDELA MENGHADAP JALAN – Sinopsis Bab 25 → Bab 30

Bab 25.

Menjelang pagi, Lili memberitahu nenek untuk berada di luar, sama ada melihat kubah surau atau bertemu dengan Che Jah. Nenek menasihati Lili agar dalam keadaan sebegini lebih selamat tidak berjumpa dengan sesiapapun. Mengikut nalurinya, pada hari ini Lili perlu berkomunikasi dengan seseorang. Danel datang membawa gulai kari pisang ikan masin yang dimasak sendiri dan menyampaikan suatu pesanan khas ayahnya kepada datuk. Berita kenaikan harga minyak petrol dan diesel telah menenggelami isu kubah surau ketika ini. Di mana-mana sahaja semua penduduk akan membincangkan kenaikan harga bahan api tersebut dan mengeluh tentangnya. Begitu juga kenaikan harga barangan yang lain termasuk perubatan. Datuk sempat memperli Danel, bahawa kos perubatan tradisional sahaja yang tidak naik. Lili ke rumah Che Jah menziarahinya dan sempat melihat keuzuran Haziq yang belum sembuh akibat kesan dibelasah oleh ayahnya. Che Jah begitu mesra melayan Lili, jangkaan dan gambaran buruk perwatakan  Che Jah oleh nenek, jauh berbeza. Lili memberitahu Che Jah, bahawa dia akan kembali ke Kuala Lumpur seminggu lagi.

Bab 26.

Lili berpendapat,  dua cadangan yang perlu diketengahkan iaitu perlunya dibina sebuah masjid dan melaporkan kepada biro pengaduan jenayah yang dilakukan oleh Seman terhadap ahli-ahli keluarganya. Datuk menasihati Lili agar tidak memikirkan hal-hal yang berat dan lebih memberi tumpuan menghabiskan masa cuti persekolahan. Danel pula telah banyak membantu, seperti menyelamatkan nyawa, membawanya ke pekan dan dalam segala hal juga mereka bersependapat. Lili juga berpandangan bahawa tugas membangunkan kampung terletak di bawah tanggungjawab Danel sebagai penduduk tetap dan perlu memperjuangkannya.

Bab 27.

Nenek bersuara janggal mengatakan sesuatu sambil memanggil Abang Rashid. Abang Rashid pula tergesa-gesa menyediakan basikalnya untuk membawa nenek ke rumah Che Jah. Ada sesuatu perkara yang berlaku di sana sehingga menyebabkan nenek bergegas ke rumah Che Jah. Lili dan Danel juga segera ke rumah Che Jah tetapi masih belum pasti apa yang berlaku. Sebaik-baik sahaja sampai kedengaran tempikan seorang lelaki, pastinya Seman sedang berang. Terdapat beberapa orang di dalam rumah Che Jah ketika itu. Tiba-tiba seorang pemuda jatuh terhumban dari atas rumah, iaitu Haziq dengan keadaan tubuhnya berdarah. Seman yang naik angin dan dalam keadaan yang tidak siuman telah menerajang Haziq sehingga menyebabkan mulutnya berdarah. Tiada seorang pun yang berani meleraikan ketegangan itu, mereka hanya berani melihat tentang apa yang berlaku. Manakala, Che Jah telah memekik minta cerai kerana tidak sabar lagi dengan karenah suaminya yang bertindak melulu. 

Bab 28.

Che Jah belum berjaya menuntut cerai daripada suaminya. Suaminya, Seman masih dengan perangai buruknya, kaki judi, sering pulang lewat malam dan sering memukul anak-anak dan isterinya. Seorang pesakit baru yang datang berubat dengan datuk kerana penyakit gout. Datuk meminta Lili mengambilkan sebotol herba untuk pesakit wanita tersebut dan menerangkan pantang larang tentang sakit tersebut. Pesakit wanita tersebut bernama Puan Hamimah dalam usia tiga puluhan lebih selesa dengan panggilan Kak Mimah sanggup bermalam di rumah datuk kerana untuk habiskan berubat. Hasil perbualan dengan Lili, Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Tugasnya berkaitan dengan keganasan rumah tangga, penganiayaan kanak-kanak dan pengabaian warga tua. Lili telah mengambil kesempatan dan peluang ini untuk membuat aduan terus kepada Kak Mimah untuk memanjangkan kes keluarga Che Jah untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Bab 29.

Kak Mimah bersetuju membantu Lili untuk menyelesaikan masalah keluarga yang dihadapi oleh Che Jah, yang akan diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Kak Mimah akan balik ke Kuala Lumpur dan akan membuat laporan berkaitan dengan kes tersebut dan Lili akan menjadi saksi. Danel datang ke rumah ketika datuk dan nenek tiada di rumah. Lili bersembang dengan Danel hanya di pangkin sambil membincangkan pembinaan masjid dan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk kampung.

Bab 30.

Danel mencadangkan pengumuman akan dibuat di surau untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk kampung ketika majlis pernikahan anak Pak Busu pada hari Jumaat nanti. Danel dan Lili bercadang bertemu Geetha untuk memintanya menyelesaikan masalah keluarga Che Jah. Geetha bersetuju dan ingin bertemu dengan Che Jah terlebih dahulu. Mereka ke rumah Che Jah setelah mendapat kebenaran ibu Geetha, tetapi Che Jah tiada di rumah.

.